Sambutan KAMI The Movie

Ulasan

Filem KAMI tidak kurang menerima ulasan yang memuaskan, lebih-lebih lagi dari pengulas yang berpeluang menyaksikan filem ini sebelum ditayangkan kepada umum. Izuan Shah dalam ulasan bertarikh 1 September 2008 di laman web gua.com.my memberi markah 8/10 untuk filem ini, dengan menyatakan bahawa "premis ini sendiri sudah cukup ringkas dan menarik untuk memegang perhatian sebilangan besar penonton muda moden," di samping memuji Nas "yang membawa watak Abu paling terserlah sekali bakat semulajadinya" dan Zahiril yang "berpotensi sebagai wajah dan suara baru," tetapi kurang berkenan dengan "Syarul Ezani yang masih kaku daripada siri TV" serta "Juliana Evans dan Zayanah Ibrahim yang sekadar mengisi cerita dengan elemen-elemen drama dan lawak tambahan."[2] Nurulhisham Abdul Latiff dalam akhbar Berita Harian (27 September 2008) memuji "lakonan baik hampir kesemua bintang utama, terutama Liyana Jasmay, Nas-T dan Zahiril Adzim," di samping "membawa pembaharuan kepada gaya penceritaan dan persembahan sebuah filem remaja," tetapi merasa "gaya rakaman filem ini agak kurang ‘selesa’ bagi sesetengah penonton" iaitu menyentuh cara Pengarah Fotografi, Siew Yaw Hoong, memegang kamera videonya, kononnya untuk menimbulkan suasanya yang berbeza untuk filem berkenaan, namun begitu "sebenarnya agak menjadi untuk filem sebegini."[3]

Jualan

Filem KAMI ini dibuka di 43 buah pawagam pada Hari Raya pertama, serentak dengan filem Senario The Movie: Episode 1. Walaupun terpaksa melayan ramalan filem ini tidak mungkin mampu bersaing dengan Senario yang ditayangkan di 68 buah pawagam[1] mahupun berjaya mengaut untung di pawagam, namun filem ini berjaya meraih hasil jualan sebanyak RM 1.4 juta pada dua minggu tayangan terawalnya, menurut Pengurus Besar Grand Brilliance, Ahmad Puad Onah, sekaligus melitupi kos pembikinan filem yang juga sebanyak RM1.4 juta ditambah sokongan penaja, maka persoalan kemungkinan kerugian filem akhirnya dielakkan.[4]